Internet dominasi jenayah siber
Jenayah penipuan internet mencatatkan jumlah aduan tertinggi melibatkan insiden keselamatan siber yang dilaporkan di negara ini awal tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Cyber Security Malaysia, Prof. Datuk Husin Jazri berkata, daripada 954 aduan yang diterima oleh Pusat Bantuan Cyber999 Januari lepas, 492 daripadanya adalah berbentuk penipuan.
"Angka ini melibatkan kegiatan memancing maklumat pengguna Internet atau phising (346), penipuan Nigeria (45), penipuan pekerjaan (38), penipuan dalam talian (28), laman web palsu (19), penipuan pembelian (10), penyamaran (empat) dan penipuan loteri (dua).
"Selain penipuan, kita juga menerima aduan berupa gangguan siber melibatkan buli (21), intipan (tiga) serta kenyataan berbentuk seksual dan perkauman yang masing-masing terdiri daripada satu kes," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sambutan Hari Internet Lebih Selamat kali ketiga yang julung kalinya diadakan di luar Lembah Klang di sini hari ini.




